Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan

"Bulan Ramadhan, iaitu (bulan) yang di dalamnya diturunkan Al Qur'an (sebagai) petunjuk bagi (sekelian) manusia dan sebagai penjelasan daripada petunjuk itu serta sebagai pembeda (antara yang haq dan yang bathil)....." surah Al Baqarah ayat 185. Oleh itu antara amalan yang digalakkan oleh Rasul Allah untuk dilaksanakan di bulan Ramadhan adalah tadarus Al Qur'an.

Bagi seorang muslim, Al Qur'an merupakan panduan tentang konsep kehidupan yang hakiki, nilai-nilai akhlak yang universal, panduan untuk hidup secara vertikal terhadap Tuhannya serta juga panduan kehidupan horizontal sesama manusia serta alam semesta. Hubungan-hubungan kejiranan, kemasyarakatan, ketatanegaraan, sosio budaya, kemanusiaan semesta diambil serta di pandu menggunakan kayu ukur Al Qur'an. Al Qur'an menjadi sumber ilmu pengetahuan, serta sumber pembuatan undang-undang dalam kehidupan berbangsa dan bernegara sehingga, nilai-nilai serta peraturan-peraturan yang dihasilkannya sentiasa bersesuaian dengan kehendak Allah sebagai pencipta manusia dan alam semesta.

FADHILAT SYAABAN

Bulan Syaaban merupakan bulan kedua selepas Rejab yang penuh dengan keberkatan.
Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.
Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah:
Memperbanyakkan puasa sunat
Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa Rasulullah SAW lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain.
Justeru itu adalah patut bagi kita selaku umat Baginda mencontohinya dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan bulan Syaaban ini.
Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."
Memperbanyak doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah SAW
Sabda Rasulullah SAW: "Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)
Bertaubat
Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."