BERSIHKAN JIWA DARI KEMUNGKARAN



Pada zaman moden ini sebagai manusia di dalam melaksanakan pekerjaan sehari-hari banyak melakukan kemungkaran. Setiap kemungkaran atau dosa yang dilakukan menggelapkan hati dan jiwa. Kehitaman hati bermula dari anggota tubuh, apalagi jiwa yang dipenuhi dengan makanan dan minuman yang tidak diketahui halal atau haramnya (syubahah) atau yang jelas haram. Anggota tubuh yang dipenuhi dengan benda-benda yang haram akan membawa kebinasaan.

     Manusia pada umumnya telah buta mata mereka daripada memandang seruan batin mereka dan telah tuli telinga mereka daripada mendengar ayat-ayat al quran. Hidung mereka telah tersumbat dengan bau-bauan menjijikkan, mulut mereka sudah diisi dengan sesuatu yang mengeluhkan lidah mereka pun telah dibasahi dengan kata-kata kotor, bukan dengan zikir kepada Allah. Makan hanya membuncitkan perut dan menurut enak selera sahaja. Nikmat tangan telah banyak dipergunakannya untuk mencuri dengan bersembunyi, mengambil hak-hak orang lain secara batil, seolah-olah Allah tidak mengetahui perbuatan mereka.

     Begitu juga dengan cara yang mungkin disedari atau tidak untuk mengaut keuntungan yang lebih dan ingin cepat menjadi kaya, mereka sanggup menandatangani cek-cek palsu dan mengambil rasuah.

Nikmat kaki telah banyak pula, mereka langkah ke tempat-tempat maksiat seperti disko dan kelab-kelab malam, padang lumba kuda dan tempat perjudian yang lain dan jarang mereka melangkah ke masjid, gelanggang kebaikan dan mini-mini syurga (masjid ilmu).

Perlakuan-perlakuan keji itu berlaku disebabkan akal manusia belum dapat memikirkan besarnya nikmat pemberian Allah. Nikmat kemulian dan ketinggian yang tiada ternilai itu membuatkan manusia selalu terbuai dan tidak ingat kepada pemberi nikmat dan tutuplah mata hatinya daripada Nur Allah. Apabila hati telah tertutup, maka tidak tergerak hendak menolong orang lain, walaupun ada orang yang di hadapannya kedinginan kerana tidak ada selimut yang menutup tubuhnya atau orang yang kelaparan, kerana beberapa hari tidak menelan sesuap nasi. hatinya keras sekeras batu bahkan lebih keras daripada batu.

Matanya jauh sekali digunakan untuk memandang sesuatu dengan pandangan iktibar, apalagi mengagumi ciptaan Allah. Setiap bulan bahkan setiap minggu mereka pergi ke zoo misalnya atau ke tempat-tempat berkelah, tetapi mereka belum dapat memikirkan dan mengagumi ciptaan Allah. Telinganya yang tuli tidak mendengar kalam-kalam Allah.Telinganya yang tuli tidak tergerak untuk mendengar kalam Allah. Walaupun dibacakan ayat-ayat Allah pada telinganya, dikumandangkan azan, disediakan jam loceng dekat telinganya agar dapat bangun mengerjakan sembahyang subuh tepat pada waktunya, tetapi persedian ini sia-sia kerana telinganya telah tersumbat dan telah dilindungi oleh syaitan. Mereka begitu susah menangkap kebenaran apalagi kebenaran itu daripada orang yang lebih rendah darjatnya, sekalipun dikemukakan perbandingan dan perumpamaan yang menakutkan. Dalam hati mereka terdapat kotoran yang menutup hati. Mata mereka tidak buta tetapi hati mereka yang buta dan golongan inilah yang akan dimasukkan ke dalam neraka jahanam seperti firman Allah SWT :


"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahanam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata tetapi tidak dipergunakannya untuk melihat tanda-tanda kekuasaan Allah, dan mereka mempunyai telinga tetapi tidak dipergunakannya untuk mendengar ayat-ayat Allah. Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai." (al-Araaf:179)


MASJID KITA KAKU, TIDAK MESRA PELANGGAN


Islam merupakan gabungan kekuatan kerohanian dan kebendaan. Ia bukan agama kerahiban yang hanya duduk bersila berzikir dan melupakan tanggungjawab menjadi khalifah atas muka bumi ini. Juga, bukan agama yang memisahkan dunia dan akhirat, sehingga kegiatan dunia dibicara atau dilaksanakan dalam rupa yang berasingan dengan akhirat. Tidak!sama sekali tidak!

       Masjid merupakan pusat umat Islam berkumpul. Masjid dalam Islam mestilah melambangkan kesyumulan atau keluasan Islam itu sendiri. Masjid mesti berfungsi untuk membangunkan umat di sudut kerohanian dan fizikalnya. Memasuki masjid bererti melangkah ke kawasan yang melambangkan ketulusan, kemesraan, kerahmatan dan kesyumulan agama ini. Oleh sebab itu, umat islam dalam kesibukan urusan kehidupan, mereka diperintahkan supaya singgah lima kali saban hari di masjid demi mengambil tenaga meneruskan agenda perjuangan sebagai khalifah yang memimpin dunia ini. Maka muncullah dalam diri setiap individu Muslim satu kekuatan yang luar biasa. Ia adalah gabungan antara unsur langit dan bumi atau kerohanian dalam kebendaan. Kata Dr Yusuf al Qaradawi : "Dengan menunaikan solat berjemaah di masjid sebanyak lima kali sehari, menjadikan masjid suatu tempat yang penting dalam islamdan kehidupan Muslimin. Masjid bukannya tempat bertapa untuk golongan pendeta (yang menumpukan ibadat khusus)atau sudut untuk golongan darwis (ahli pertapaan). Dalam Islam tiada pendetaan atau pertapaan." Rasulullah SAW bersabda kepada Abu Zar :

"Kewajipan kepadamu ialah jihad kerana itu adalah pertapaan umatku." (Ibn Hibban dan al-Hakim - hadis hasan)

Kata seorang tokoh Islam yang terkenal pada masa ini, Dr. 'Imad ad-Din Khalil ketika mengulas tentang fungsi masjid yang diasaskan oleh Rasulullah SAW : "Masjid bukannya tempat ibadat dan solat semata - mata, bahkan kedudukannya sama seperti kedudukan Islam itu sendiri, mencakupi pelbagai sudut ad-Din, politik dan kemasyarakatan." 

       Malangnya, masjid - masjid kita kebanyakannya masih gagal befungsi sedemikian rupa. Di sudut kerahmatan dan kemasyarakatan umpamanya, banyak masjid kita masih tidak mesra remaja dan kanak-kanak. Golongan ini sentiasa rasa kurang selesa atau bimbang dengan layanan orang masjid kepada mereka. Takut-takut dimarahi jika tersilap. Jika tidak pun, mereka kurang diberi layanan yang sewajarnya. Lebih teruk lagi ada masjid yang membuat penempatan khas untuk kanak-kanak ketika solat. Mereka dijarakkan daripada saf orang dewasa. Kadangkala jauhnya itu pula diselang beberapa saf. Ditulis pula satu papan tanda "saf kanak-kanak" Ini semua berpunca daripada 'khurafat' yang disandar kepada fikah kononnya jika kanak-kanak belum berkhatan bersentuhan dengan orang dewasa maka terbatallah solat, sebabnya di bawah kulit kanak-kanak itu ada najis kerana belum bersunat. Cubalah tanya orang tua-tua atau ustaz yang mengajar sedemikian rupa, apakah dalam perut orang dewasa orang dewasa tidak ada najis? atau apakah jika seseorang ada nanah di bawah kulitnya, maka solatnya tidak sah? 

Ketika Ibn Abbas masih kanak-kanak, Rasulullah SAW bersolat dan memegang telinga atau kepala Ibn Abbas agar bersolat di tepi Baginda. Kata Ibn Abbas : 
"Rasulullah bangun bersolat malam, aku turut serta bersamanya. Aku berdiri di sebelah kiri baginda. Baginda memegang kepalaku lalu menjadikan aku berada disebelah kanan Baginda. (Riwayat al-Bukhari)

Ada orang dewasa yang sanggup menarik kanak-kanak yang sedang bersolat keluar daripada saf kerana dia nak masuk saf kemudian disuruh budak itu ke saf belakang. Akhlak buruk ini menjadikan kanak-kanak berjiwa lemah ketika berada di masjid. Sementara orang dewasa yang lewat datang dan menarik kanak-kanak keluar itu pula terbiasa dengan sikap buruk sebagai seorang yang datang lewat lalu merampas temapat orang yang lebih awal. Ada juga pihak masjid tidak suka kanak-kanak terlalu ramai ke masjid bimbang nanti mengganggu keheningan jemaah. Dukacita sikap yang demikian tersimpan dalam perasaan setengah orang. Hal ini kerana sesetengah kita lebih ingin menjaga warna karpet baru daripada berkempen mendapat jemaah baru.

Dalam hadis Nabi SAW, Baginda bersabda :
"Aku mendirikan solat (sebagai imam) dan aku berhasrat ingin memanjangkannya. Tiba-tiba aku mendengar tangisan bayi, maka aku menyegerakan solatku kerana aku tidak suka membebankan ibunya." (Riwayat al-Bukhari)

      Lihatlah sikap mesra pelanggan yang ditunjukkan oleh Baginda, maka tidak hairan masjid di zaman Baginda menjadi temapat terpautnya hati generasi. Hadis ini juga memberi maksud imam mesti meringankan solatnya, jika makmum ramai yang bertugas di belakangnya. Demikianlah Nabi SAW menjaga perasaan ahli jemaahnya. Adapun kita, jika ada anak yang menangis, ibunya pasti dipandang sinis. Maka jangan hairan jika kanak-kanak atau remaja merasai lebih diberi layanan mesra ketika berada di pusat-pusat hiburan, dibandingkan jika berada di masjid. Kemudian kita 'bising' apabila generasi muda tidak berminat dengan masjid atau tidak selesa di masjid.

Kita mungkin tidak menghalang manusia mendekati masjid. Namun tindakan yang tidak seimbang dengan fungsi masjid menjadikan manusia terhalang secara tidak langsung kerana kita. Generasi muda adalah pelapis pembinaan tamadun umat. Jumlah mereka mesti lebih ramai di masjid daripada di pusat-pusat 'lamunan.' Jangan sampai masjid kita hanya menjadi kelab orang pencen sahaja sedangkan orang muda berkelab ditempat lain.

POTRAIT CINTA


Perkahwinan adalah suatu tuntutan dalam Islam. Antara perkara penting sebelum melangkah ke alam pernikahan ialah hal yang berkaitan dengan pencarian pasangan hidup kerana di sinilah cinta suci lagi halal akan dibina, untuk sama-sama merasai susah senang, jatuh bangun sebuah kehidupan berumah tangga demi melihat kemerkasaan benteng pertahanan Islam terus kukuh dengan lahirnya generasi zuriat sebagai pejuang menggalas kesinambungan para mujahid terdahulu. Rumahtangga sekiranya dibina dangan tapak semaian keimanan, ketakwaan dan kasih sayang serta dipikul penuh amanah, sudah tentu akan bercambah biak kebahagian dalam melahirkan generasi yang soleh dan solehahserta jauh dari pergolakan amukan jiwa memberontak.

Islam telah menyediakan garis panduan yang lengkap kepada bakal-bakal suami dan isteri di dalam memilih pasangan hidup. Nabi pernah bersabda :

" Dinikahi perempuan itu kerana empat perkara, iaitu kerana hartanya, kerana kecantikannya, kerana keturunannya dan agamanya. Oleh itu, utamakan wanita beragama nescaya kamu akan beruntung." (hadith riwayat muslim)

Apa yang dapat kita fahami, dari maksud hadith di atas ialah ciri-ciri paling baik dalam memilih calon bakal isteri yang mempunyai pengetahuan dan beramal dengan ajaran agama. Mungkin pernah terlintas dibenak hati kita memiliki gadis yang memahami perasaan dan bersedia menyelami setiap pahit maung hidup seorang suami yang terpaksa bekerja keras dalam memikul amanah yang cukup banyak.

Pemilihan pasangan hidup tidak boleh dipandang ringan. Islam amat menekankan isu ini disebabkan kesannya dalam kehidupan bermasyarakat dn keharmonian dalam negara adalah amat besar kerana jika pergaduhan dan penceraian diantara suami dann isteri kan mengakibatkan rumahtangga dan nasib anak-anak terumbang ambing. Jika demikian, bagaimana generasi pelapis negara dapat dilahirkan? sudah tentu apa yang diharapkan ibarat "bermimpi disiang hari" semata-mata.

Tanggungjawab membentuk rumahtangga yang bahagia dan melahirkan generasi cemerlang amatlah berat. Justeru, keteguhan dalam pegangan agama suami isteri perlu dipertingkatkan agar kita lebih bersedia menghadapi ujian dan cabaran hidup berumahtangga. Allah taala berfirman :

" Ketahuilah bahawa harta benda dan anak pinak itu adalah ujian, dan sesungguhnya disisi Allah Taala jualah pahala yang besar." al anfal (8:28)

Sehubungan dengan itu sebagai bakal ibu dan bapa kepada bakal anak-anak, kita hendaklah menyemai benih yang ditanam dalam hamparan semaian iman sejak kecil lagi bila mereka besar kelak akan bercambah biak padanya asas pengetahuan agama sekaligus melebar luas pada sahsiah ruhiah dalam yang mantap. Allah Taala berfiman :

" Hai anak Adam, kamu tidak adil terhadap - Ku. Aku mengasihimu dengan kenikmatan -kenikmatan tetapi kamu membenci Ku dengan berbuat maksiat -maksiat. Kebajikan Kuturunkan kepadamu dan kejahatan - kejahatanmu naik kepada Ku. Selamannya malaikat yang mulia datang melaporkan tentang kamu setiap siang dan malam dengan amal-amalmu yang buruk. Tetapi anak Adam, jika kamu mendengar perilakumu dari orang lain dan kamu tidak tahu siapa yang disifatkan pasti kamu akan cepat membencinya." (Hadis Qudsi)



Tip Menolak Permusuhan

* Memaafkan,tanpa mengira pihak siapa yang benar atau salah.
* Jika tidak mampu memaafkan, cepat berlalu dan diam,tanpa membalas.
* Kenangkan detik manis atau kebaikan yang pernah dilalui bersama dengan "musuh" kita itu.
* Muhasabah hubungan kita dengan Allah. Mungkin Allah mendidik kita melalui kerenah musuh kita itu.
* Sedarlah, kita hanya hamba, penuh kekurangan dan kesalahan. Kita layak disakiti, disalahtafsirkan dan sebagainya.

Membiasakan Anak 'HIDUP BERSAMA' Al-Quran

Rasulullah SAW pernah bersabda :
Didiklah anak-anakmu denga tiga perkara : Mencintai Nabimu, Mencintai Ahlul Baitnya, dan Membaca Al quran kerana orang-orang yang memelihara al quran itu berada dalam lindungan singahsana Allah pada hari ketika tidak ada perlindungan selain daeipada perlindungan Nya ,mereka beserta para nabi Nya dan prang-orang suci (HR Ath-Thabrani)

50 Keistimewaan Wanita

"Sekadar renungan buat insan yang bergelar wanita.
Ketahuilah betapa istimewanya menjadi wanita,
Betapa bertuahnyamenjadi wanita,
Bersyukurlah kerana menjadi wanita."

Bagaimanakah perasaan anda hari ini?

Adakah anda rasa marah? Gembira? Murung? Kecewa? Takut? Bersalah? Tersinggung? Hormat? Bertanggungjawab? Bolehkah anda mengenalpasti dengan tepat apa yang anda rasa? Bolehkah anda cari perkataan-perkataan lain untuk mencerminkan apa yang anda rasa? Kini manusai telah cipta lebih daripada 2000 perkataan untuk menerangkan jenis-jenis perasaan yang dialaminya. Kefahaman tentang tiap-tiap perkataan mengenai perasaan iaitu emosi manusia penting untuk mengenali perasaan sendiri dan perasaan orang lain.